Keperluan Mengambil Ujian Saringan Talasemia adalah DIgalakkan
Selain Ujian HIV, Ujian Talasemia Juga Perlu Diambil Sebelum Berkahwin. Penting!
Banyak perkara yang perlu dititikberatkan sebelum anda melangkah ke alam perkahwinan. Tidak semestinya persediaan mental dan fizikal sahaja.
Kebiasaannya pasangan yang bakal membina rumahtangga akan mengambil ujian saringan seperti HIV. Namun, bukan sahaja ujian HIV yang perlu diambil, anda juga perlu mengambil ujian Talasemia yang juga penting dalam membina sebuah keluarga yang sihat.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh The Borneo Post, kira-kira 76% remaja di Malaysia telah menghidap penyakit Talasemia ini. Namun, hanya 26% yang hadir untuk mengambil ujian saringan.
5 sebab penting kenapa anda perlu menjalani ujian talasemia sebelum mendirikian rumahtangga:
1. Dapat mengurangkan risiko zuriat daripada menghidap Talasemia major
Ujian saringan untuk penyakit Talasemia ini merupakan tindakan yang sangat disarankan bagi memastikan generasi baru dilahirkan dengan sihat. Jika anda sudah mengetahui status Talasemia dalam badan anda, pasangan akan dimaklumkan tentang risiko bahawa penyakit ini mungkin akan diwariskan kepada zuriatnya.
Lain pula jika anda dan pasangan merupakan pembawa Beta Thalasemia yang dikenali sebagai penyakit Talasemia jenis minor. Zuriat bakal mempunyai risiko menghidap Beta Thalasemia Major sebanyak 25% dan Beta Thalasemia Minor sebanyak 50%.
Anak yang hidup dengan Talasemia jenis Beta Thalasemia Major perlu mendapatkan rawatan sepanjang hayat akibat penghasilan darah merah yang kurang dan tidak dapat berfungsi secara optimum.
2. Memastikan agar penyakit ini terkawal
Ujian saringan ini tidak akan mengubah status kesihatan seseorang. Ianya merupakan langkah awal yang sangat berguna dalam pengurusan kesihatan.
Terdapat 3 tahap Talasemia yang perlu anda tahu iaitu:
- Pembawa talasemia iaitu Thalasemia Minor
- Penyakit talasemia pertengahan iaitu Thalasemia Intermedia
- Penyakit Thalasemia Major iaitu tahap yang paling teruk
Jika anda disahkan mempunyai Beta Thalasemia Trait iaitu penyakit talasemia ringan, ianya tidak merbahaya dan tidak memerlukan sebarang rawatan.
3. Dapat tahu tentang tahap kesihatan pasangan anda sebelum berkahwin
Tindakan pasangan yang menjalani ujian saringan untuk menghindari penyakit talasemia ini merupakan satu langkah yang bijak. Ini kerana ramai yang terkejut apabila anak mereka disahkan menghidap penyakit berbahaya ini, tanpa disedari ibu bapanya tidak mengendahkan tentang pengambilan ujian saringan sebelum berkahwin.
Untuk pasangan yang akan membesarkan anak yang menghidap penyakit ini sememangnya tidaklah semudah yang disangka. Banyak pantang yang perlu dititikberatkan, kos perubatan seorang yang mempunyai penyakit ini juga amatlah tinggi.
Oleh itu, anda disarankan untuk mengambil ujian ini untuk mengelakkan masalah seperti ini berlaku di masa hadapan.
4. Sekiranya pasangan anda dapat menerima anda sebagai salah seorang yang menghidap penyakit Talasemia, anda perlu merujuk khidmat kaunseling
Jika anda mempunyai pasangan yang sanggup menerima risiko walaupun anda merupakan salah seorang pesakit yang menghidap penyakit bahaya ini, anda dan pasangan seharusnya merujuk kepada pihak kaunseling dan membincangkan sama ada zuriat anda bakal mewarisi penyakit ini.
Ini kerana risiko yang bakal diterima oleh bayi tersebut adalah mengikut tahap Talasemia yang dibawa oleh ibu bapa sendiri. Dengan khidmat pihak kaunseling, anda akan diberi maklumat tentang pengurusan kesihatan dan juga diet yang betul untuk kesihatan darah anda di masa akan datang.
5. Mengurangkan risiko untuk ibu mengandung
Ibu mengandung juga berdepan dengan risiko mengalami komplikasi ketika mengandung dan melahirkan anak. Ibu mengandung yang merupakan pembawa penyakit Talasemia berisiko tinggi untuk mengalami Anemia. Manakala anak dalam kandungan yang menghidap Alpha Thalasemia Major pula dikhuatiri boleh meninggal dalam kandungan atau semasa dilahirkan.
Ujian saringan Talasemia ini hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup. Walaupun tidak wajib untuk pasangan mengambil ujian ini, namun ianya bakal memberikan kesan yang besar di masa hadapan.
Pesanan untuk semua, ujian ini boleh diambil untuk remaja seawal umur 16 tahun ya. Ianya sangat ditekankan untuk individu yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini.
Jadi, jangan lupa bawa pasangan atau keluarga anda untuk ambil ujian ini sebelum terlambat!